Tuesday, July 3, 2018

60 KOLEKSI PANTUN UNTUK MAJLIS PERKAHWINAN

Sumber Asal Koleksi 60 Pantun Majlis Perkahwinan ini diambil dari Blog ISDA Catering.


Sudah menjadi adat kita masyarakat Melayu yang kaya dengan budaya.

Salah satu budaya yang sinonim dengan majlis perkahwinan adalah budaya berpantun.

Kebanyakkan majlis sudah tidak diserikan dengan pantun-pantun ini, tapi jika mampu berpantun, serikanlah majlis dengan Pantun agar bertambah seri majlis perkahwinan anda nanti.

Di sini admin kongsikan 60 koleksi Pantun Majlis Perkahwinan yang admin kumpulkan dari pelbagai sumber:

1. Orang ke laut menjala Udang, Petang hari pasang pelita,
Yang ditunggu sudah pun datang, Yang dinanti sudah pun tiba.
2. Tanam serai berumpun-rumpun, Disiram air setiap hari,
Lemah gemalai hayun tersusun, Maklum lah dipanggil raja sehari.
3. Buah pauh mari di kerat, Alamat petang boleh dimakan
Pada yang jauh dan juga dekat, Selamat datang kami ucapkan
4. Pijat mati disarang kerengga, Anak Murai saja berlari
Hajat hati sekelian keluarga, Hendak merai raja sehari
5. Tetak buluh panjang sepuluh, Mari jolok sarang penyengat,
Rafak susun jari sepuluh, Minta doa biar selamat
6. Orang jauh dikenang-kenang, Hanya terkenang pada yang satu,
Mula berkenalan kemudian bertunang, Akad dilaksana sama bersatu
7. Anak Cina mengail patin, Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin, Tanda gembira penuh di hati
8. Puan dibawa ke Gunung Ledang, Dibawa dengan penuh beradab
Pinggan mangkuk telah terhidang, Kini masa makan beradab.
9. Semerbak bunga seroja, Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja, Jemput semua menikmati hidangan
10. Berdua mencari renda, Dapat satu di Inderagiri
Doa dari ayahanda bonda, Agar Masjid kekal berdiri
11. Tanam pisang tumbuhnya kelapa, Terbit bunga pucuknya mati,
Budi semua tak kami lupa, Sudah terpaku di dalam hati
12. Tuan puteri tersenyum-senyum, Melihat laksamana bermain rodat,
Senyum-senyum jangan tak senyum, Sudah sempurna segala adat
13. Memang pipit memakan padi, Telah lagi diberi beras,
Bukan sedikit tuan-tuan berbudi, Budimu tuan sukar dibalas
14. Nasi putih nasi lemak, Sajian makanan di waktu pagi
Terima kasih banyak-banyak, Sudi bertandang ke majlis kami.
15. Kalau tidak kerana bulan, Tidak bintang terbit pagi,
Kalau tidak kerana tuan, Tidak majlis sepermai ini.
16. Hari ini menugal jagung, Hari esok memintal tali
Hari ini kita berkampung, Meraikan mempelai dua sejoli.
17. Anak Cina memasang lukah, Lukah dipasang di Tanjung Selasih
Pasangan pengantin segak melangkah, Mara menuju mahligai kasih
18. Tiup serunai di atas kota, Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta, Cinta tersemai di dalam hati
19. Sudah lama langsatnya condong, Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung, baru sekarang diizinkan Allah.
20. Orang membelat di tepi pantai, Banyak dapat ikan tembakul.
Yang kami hajat sudah tercapai, Yang kami doakan sudah terkabul.
21. Asal dari Bukit Siguntang, Kisah hikayat tidak terperi
Kami mengucap selamat datang, Hadir tuan menambah seri
22. Bagai ruas dgn buku, Bagai daging dgn kuku
Hidup di air satu perahu, Di darat satu kelambu
23. Menitis peluh merentas ladang, Hati-hati menjejak kaki,
Sebaik saja sajian dihidang, Sudilah Tuan-Puan persilakan diri.
24. Beli titi kayu belian, Belian dibeli dari ulu,
Minta sudi lah hadirin sekalian, Jgn segan jgn malu
Gambar Pengantin : Sumber dari FB ISDA Catering Melaka

Sumber: Pantun Hari Perkahwinan dan Persandingan

25. Satin biru habis digunting, Sehelai sepinggang tiadalah jua
Pengantin baru manis bersanding, Bagai pinang dibelah dua.
26. Teruna berpeluh memuja bidadari, Lama nian lekat di mata
Pesona sungguh raja sehari, Umpama berlian diikat permata.
27. Kembang Cina baru dipetik, Sudah layu di telapak tangan
Abang teruna rindu cik adik, Madah merayu hendak bergandingan
28. Tua layu kembali mulus, Turun hujan dirembang syahdu
Dua menantu sekali gus, Tahun hadapan menimang cucu
29. Dodoi nyonya pandai membisik, Menebang dahan angin mendayu
Amboi. kuatnya perisai cik adik, Abang tak tahan ingin bertemu
30. Berpeluh sudah berpenat lelah, Bertahun patah tumbuh ditebang.
Dirempuh redah bersirat bilah, Berpantun madah berpeluh cik abang.
31. Gemalai kuntum melentuk di ranting, Tempua bicara irama syahdu.
Mempelai tersenyum duduk bersanding, Mertua gembira terima menantu.
32. Kelat mengkudu tiada bertanda, Patah dahan tempat berteduh.
Berkat restu ayahanda bonda, Mudah-mudahan dipanjang jodoh.
33. Kuntum relai tumbuh di mana, Gaya tempua menyapa bayu.
Senyum mempelai penuh bermakna, Rahsia berdua siapa yang tahu.
34. Buah macang melentur rendah, Dahan meranti bercabang dua.
Bertuah abang beristeri solehah, Belahan hati penenang jiwa.
35. Kerana rentung cemara dipalu, Sirih dilayang di dalam pasu.
Teruna merenung si dara tersipu, Kasih sayang bersulam rindu.
Sumber: Jom Kita Berpantun

36. Dari mana punai melayang? Dari pagar turun ke padi
Dari mana datangnya sayang? Dari mata turun ke hati
37. Baik-baik menunggang unta, Nanti salah jatuh terlentang
Baik-baik bermain cinta, Mandi tak basah Makan tak kenyang
38. Hisap rokok tembakau cina, Keluar asap berbunga-bunga
Wahai cik adik saya bertanya, Cincin dijari siapa yang punya
39. Keluar asap berbunga-bunga, Itu petanda nak pendek usia
Cincin dijari memang ada yang punya, Tapi biarlah dulu jadi rahsia
40. Pucuk pauh delima batu, Anak sembilang ditapak tangan
Sungguh pun jauh beribu batu, Hilang dimata di hati jangan
41. Kudup seroja beria-ia, Hendak keluar tak nak sekerat
Hidup kekal bahagia ceria, Dari dunia sampai akhirat
42. Tanak nasi di lorong hulu, Tanak bubur rumah juragan
Hendak mati di hujung kuku. Hendak berkubur ditapak tangan
43. Lebah menari selepas kerja, Tarian adat sudah ditetap
Menambah seri hari bahagia, Makan beradap jadi pelengkap
44. Madu lebah dari Peringgit, Amalkan makan jadi bistari
Sedangkan lidah lagi tergigit, Inikan pula suami isteri
45. Helang menyambar serigala gusar, Melihat kelibat si halimunan
Sesi bergambar keluarga besar, Jadi kenangan sepanjang zaman

Sumber: Pantun Walimah

46. Buah pauh si bunga rampai, Kilauan bintang sungguh mengasyikkan;
Orang jauh sudahlah sampai,Selamat datang kami ucapkan.
47. Tiup serunai di atas kota, Uda memupuk bunga Melati;
Mula kenal kemudian bercinta, Cinta tersemai dalam hati.
48. Amat garang datuk bentara, Musuh melanggar habis dibenam;
Dulu seorang kini berdua, Hidup bersama susah senang.
49. Orang jauh berkirimkan surat, Berkali-kali dibaca jua;
Ikan dilaut asam didarat, Dalam kuali bertemu jua.
50. Di malam hari terang senegeri, Bulan purnama dihujung julai;
Majlis gahari bertambah seri, Menyambut kedatangan kedua mempelai.
51. Doa berkat penutupnya amin, Jari lentik memukul gendang;
Mempelai berangkat di atas pelamin, Sama cantik sama padan.
52. Rimbun semalu di jambu batu, Bangkit pelanduk terus berlalu;
Kompang dipalu menyahut restu, Pengantin duduk tersenyum malu.
53. Semerbak bunga seroja, Dibelai dara pingitan;
Lauk pauk penuh semeja, Jemput mempelai menikmati hidangan.
54. Feringgi melanggar Inderagiri, Lalu dibedil oleh laksamana;
Suami ibarat kepala negeri, Hendaklah adil lagi saksama.
55. Keris dan sundang lambang diraja, Itulah tanda raja yang makbul;
Tanah ladang diletak baja, Makin dibaja semakin subur.
56. Hadirin berpakaian serba indah, Meraikan majlis yang gilang gemilang;
Bersanding sudah, bersantap pun sudah, Sila pengantin berangkat pulang.
57. Dengarlah ini ayah berpesan, Anak menantu, ayah ingatkan;
Berkasih sayang sesama insan, Jangan cepat menjadi bosan.

Sumber: Koleksi Pantun Pengantin

58. Ikan di laut asam di darat, Dalam kuali bertemu jua
Hati terpaut janji diikat, Atas pelamin bertemu jua
59. Orang jauh dikenang-kenang, Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenal kemudian bertunang, Diatas pelamin sama bersatu
60. Dari Johor kekuala Kedah, Dagang merantau beratus batu
Surat sudah, SMS pun sudah, Sudah kawin masih begitu

Sumber:Lawak Pantun

0 comments:

Post a Comment