Saturday, September 23, 2017

Orang Asia Kurang Beri Sambutan Terhadap Pelancaran Iphone 8.


SYDNEY/TOKYO: Pelancaran iPhone8 di Asia kurang meriah berbanding kemunculan sulung model lain sebelum ini, apabila peminatnya menunggu model premium iPhone X awal November ini..

Ratusan pembeli kebiasaannya berkumpul di gedung Apple Sydney dengan barisan terbentuk di jalan utama bandar itu, George Street, apabila pelancaran produk baharu.

Namun, kurang 30 orang berbaris sebelum gedung itu dibuka semalam, menurut Reuters.

Walaupun jumlah pembeli yang beratur di luar gedung Apple merosot sejak beberapa tahun lalu dengan ramai memilih membeli secara dalam talian, sambutan lemah terhadap iPhone terbaru sebahagiannya adalah disebabkan ulasan yang kurang menarik.

Mazen Kourouche, yang menjadi orang pertama dalam barisan selepas beratur 11 hari di luar gedung supaya beliau boleh membeli dan membuat ulasan produk di YouTube, berkata wujud penambahbaikan sederhana sahaja.

"(Ia) hampir sama dengan iPhone 7, namun dapat merakam 60 bingkai sesaat dan mempunyai kaca baharu di belakang berbanding logam, yang menjadikannya lebih tahan lama.

"Tidak ada banyak ciri baharu pada model ini," katanya kepada Reuters.

Di China, pelanggan setia Apple berkata, kamera yang bertambah baik adalah antara sebab beliau membeli peralatan baharu berkenaan.

"Saya menunggu sehingga tengah malam untuk menyaksikan acara pelancaran bersama teman lelaki bagi mengetahui apa yang baharu dengan iPhone ini.

"Fungsi fotografinya agak bagus. Jadi, saya rasa perlu menukarnya tanpa ragu lagi," kata Ta Na, 29, di Shanghai.

Perhatian terhadap iPhone dan iPhone X di platform media popular China, Weibo kurang berbanding seperti yang disaksikan dalam dua pelancaran sebelum ini.

Ulasan buruk terhadap iPhone 8 yang dilancarkan 10 tahun selepas Apple mengeluarkan versi pertama telefon revolusi itu, menyebabkan saham syarikat jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua bulan AS$152.75 semalam, apabila pelabur bimbang pratempahan bagi peralatan itu jauh berada di bawah pelancaran terdahulu.

iPhone 8 hanya disasarkan kepada mereka yang mahukan versi baharu, namun tidak mahu membayar sehingga AS$999 bagi iPhone X, kata Pengarang Teknologi iTWire.com, Alex Zaharov-Reutt, yang tidak beratur pada pelancaran berkenaan.

iPhone X adalah peralatan kaca dan keluli tahan karat dengan paparan hujung ke hujung yang dikatakan oleh Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook sebagai lonjakan terbesar ke hadapan sejak iPhone pertama.

"Saya rasa ia menjadi lebih menarik dengan lebih ramai orang menunggu iPhone X," kata Ray Yokoyama, selepas membeli iPhone 8 di Tokyo. - Reuters

Sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment